Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hadis. Bila kita mendengar sesuatu hadis dan kita tidak pernah mendengarnya sebelum ini, ia juga pelik bagi kita, ia bukan dari ustaz-ustaz, namun sekadar contoh dari facebook atau blog. Apakah kita perlu mempercayainya atau apakah tindakan yang perlu kita ambil? Jika tolak hadis nabi, kita akan rosak akidah tetapi jika ia hadis palsu bagaimana pula nasib kita jika mempercayainya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tindakan yang tuan boleh lakukan ialah; i. Merujuk kepada sumber yang sohih berkenaan hadis tersebut atau merujuk terus kepada kitab-kitab hadis, atau merujuk kepada para ulama’ yang berautoriti. Perlu diselidik akan kebenaran sesuatu hadis tersebut lebih-lebih lagi dari media sosial yang dibuat oleh pihak yang tidak berautoriti. Firman Allah SWT yang bermaksud; Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat : 6) ii. Justeru, jika ada keraguan tentang hadis tersebut sama ada daripada Nabi SAW atau tidak, maka jangan beramal dengannya dan tinggalkan keraguan tersebut. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Muhammad Al Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhuma, cucu kesayangan Rasulullah SAW, dia berkata: حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْ مَا يَرِيْبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ Maksudnya : “Aku hafal dari Rasulullah SAW : Tinggalkanlah sesuatu yang membuatmu ragu, dan kerjakanlah sesuatu yang tidak membuatmu ragu.” (Riwayat al-Tirmizi) Begitu juga yang disampaikan oleh Nabi SAW di dalam salah satu khutbahnya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar ini”, yang bermaksud; “Hendaklah kamu sekalian menjauhi dari terlalu banyak menyampaikan hadis daripadaku. Maka barang siapa menyampaikan sesuatu hadis daripadaku hendaklah dia menyatakan nyang sebenar-benarnya (sahih). Dan barang siapa yang mengada-adakan dusta atas namaku padahal aku tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka”. (Riwayat Ibnu Majah) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.