BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan penjelasan berikut: 1. Apakah hukum 'like' gambar kawan atau seseorang yang bukan beragama Islam yang tidak menutup aurat di media sosial? 2. Apakah hukum 'like' gambar kawan atau seseorang yang berlatar belakangkan gereja atau tokong? 3. Apakah hukum mengucapkan merry Christmas, happy deepavali, happy Halloween atau seumpanya pada rakan atau seseorang yang agamanya bukan Islam di media sosial? 4. Adakah membaca Quran di dalam hati tanpa menyebut dibibir dikira membaca Quran? Jika ya, adakah pahalanya juga dikira sama? 5. Adakah benar mengerjakan umrah dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT dapat menghapuskan dosa-dosa yang lepas? Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Disebalik gambar yang dipaparkan, tentu ada kisahnya tersendiri. Justeru, hukum “like” gambar tersebut akan dipertanggungjawabkan kepada orang tersebut berdasarkan niatnya. Hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan” (Riwayat al-Bukhari) Orang Islam juga hendaklah menjaga pandangan daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; (an-Nur : 31) Melihat yang haram pun ditegah apatah lagi menyokong (like) mereka yang mendedahkan auratnya. 2. Menyokong kepada perkara yang bertentangan dengan aqidah umat Islam adalah dilarang. 3. Hukumnya adalah harus dengan syarat sebagai menjaga hubungan baik, tidak bertujuan memuliakan atau mengagungkan agama lain. Penjelasan berkenaan perkara ini boleh dirujuk pada link berikut: http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/115-garis-panduan-orang-islam-turut-merayakan-hari-kebesaran-agama-orang-bukan-islam 4. Tidak akan sama membaca al-Quran dengan sebutan lisan dan bacaan di dalam hati, kerana sebutan makhraj dan tajwidnya mestilah disebut dengan betul dan jelas. Sudah tentu bacaan al-Quran yang betul akan mendapat pahala. Dan berdosa jika salah, kerana boleh membawa kepada perubahan makna pada ayat tersebut. 5. Benar, adapun yang terhapus adalah dosa-dosa kecil sahaja, tidak termasuk dosa besar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 255

message user image