Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. saya ingin bertanya, apa hukum kita sebagai tuan kedai bagi resit kosong kepada pelanggan untuk claim pada majikannya? padahal resit saya bagi dan cop kedai syarikat saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam perkara ini suka diingatkan agar merujuk kepada firman Allah SWT : وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ Maksudnya : “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya” (al-Maidah : 2) Jika perbuatan memberi resit kosong itu boleh menguntungkan perbuatan jenayah dan penipuan, maka ia wajib dijauhi. Perbuatan tersebut juga lebih cenderung kepada kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, iaitu mengemukakan tuntutan palsu; “Mana-mana orang mengemukakan dokumen tuntutan (resit, invoice) yang mempunyai butiran matan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal (pejabatnya)” Adalah menjadi kesalahan bagi pekerja membuat tuntutan melebihi harga belian sebenar kepada majikan dengan mengemukan resit/ invois palsu. Mereka yang terlibat juga dikira bersubahat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.