Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah sah solat jika baca alfatihah dengan suara bisikan yang boleh didengari tanpa menggunakan suara sebenar? hanya dengan suara bisikan. Adakah wajib bacaan pada rukun fi'li dibaca hingga terdengar di telinga seperti rukuk, iktidal dan sujud? Apakah hukum salah baca pada bacaan rukuk, iktidal dan sebagainya(rukun fi'li)?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Bacaan al-Fatihah adalah rukun qauli yang wajib dilafazkan dengan makhraj dan tajwid yang betul. Termasuk dalam pengertian membaca mestilah menyebut dengan menggunakan anggota bibir (mulut) dan mengeluarkan suara. Bagaimanapun, membaca dengan suara yang kuat boleh mengganggu jamaah yang lain adalah makruh. Oleh itu, bacalah sekadar didengar di telinga sendiri seperti berbisik, maka sah solatnya. Bacaan dalam hati tidak termasuk bacaan. 2. Rukun fi’li itu wajib pada perbuatannya sahaja, bukan pada bacaannya. 3. Salah bacaan pada rukun fi’li adalah dimaafkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.