Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bagaimana cara mandi hadas besar jika badan terdapat luka kesan pembedahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bagi pesakit yang mampu mandi dan semua bahagian badannya boleh terkena air, hendaklah mandi macam biasa, siram air dan ratakan ke seluruh badan kecuali anggota yang berbalut sebab luka. Selepas mandi hendaklah tayammum sebagai ganti anggota yang tidak boleh kena air tadi. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA, dia berkata: “Kami pernah dalam suatu perjalanan, lalu seorang di antara kami kepalanya terkena batu. Orang itu kemudian junub kerana bermimpi. Lalu bertanyalah dia kepada kawan-kawannya: "Apakah saudara-saudara mendapatkan hukum keringanan bagiku untuk bertayamum?" Jawab mereka: "Kami tidak mendapatkan hukum keringanan bagimu, sedangkan kamu mampu memakai air". Maka lelaki itu mandi, ternyata setelah itu dia mati. Setelah kami menghadap Nabi SAW., dan hal itu dilaporkan kepada baginda, maka baginda bersabda: "Mereka telah membunuhnya, Allah membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya kalau mereka tidak tahu?. Sungguh ubat kebodohan itu adalah bertanya. Dia cukup bertayammum saja, dan membalutkan kain balutan kepada lukanya, kemudian menyapunya pada bahagian atas balutannya. Setelah itu, dia mencuci anggota badannya yang lain." (Riwayat Abu Daud) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.