Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: boleh kah ayat berbeza dari surah berbeza di gabungkan? Contoh, ayat 1 surah al ikhlas kemudian ayat 5 surah al-fatihah dan seterusnya ayat lain dari surah lain
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, tindakan mengabungkan ayat-ayat yang berbeza dari surah-surah yang berbeza adalah berdosa, kerana jelas ia mengubah susunan ayat-ayat dalam surah tersebut. Ayat-ayat al-Quran itu adalah kalamullah. Ia merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Justeru tiada sesiapa yang boleh mengubahnya, kerana ia sangat mulia dan terpelihara. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (al-Hijr : 9) Oleh itu, bacalah sesuatu surah itu dengan sempurna sehingga ayat yang terakhir tanpa menggabungkan dengan ayat lain dari surah yang lain. Lebih-lebih lagi surah yang pendek kerana ia mudah diingat dan diamalkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.