Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Tuan, Soalan saya adalah melibatkan soal tentang HUTANG. Seorang sahabat saya telah berhutang sebanyak RM300. Perasaan marah terjadi bilamana sahabat ini masih tidak membayar hutang sedangkan setiap bulan saya memintanya memandangkan saya sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap. Akibat dari perasaan marah tersebut, saya telah memberitahu kakak sahabat agar memulangkan duit pemberian saya kepada anaknya suatu ketika dahulu sebanyak RM2000 dan akan menganggap hutang adiknya selesai sekiranya wang RM2000 itu di kembalikan. Dan saya sedar perbuatan meminta semula pemberian itu adalah haram. Apakah status duit tersebut dan sebaik2 yang perlu saya lakukan dengan duit RM2000 tersebut memandangan kakak sahabat telah memulangkan semula.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, dalam perkara ini tindakan puan meminta semula pemberian RM2000 tersebut adalah tidak wajar. Ini kerana, isu hutang yang perlu diselesaikan hanya melibatkan puan dan sahabat puan sahaja. Justeru, kakak sahabat puan tidak bersalah. Status duit RM2000 yang dikembalikan itu ibarat hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Orang yang menarik balik hibahnya (pemberian) seperti anjing yang muntah kemudian memakan muntahnya kembali”. (Riwayat al-Bukhari) Dicadangkan agar dipulangkan semula RM2000 dan buat tuntutan RM300 sahaja secara baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.