Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: aya mendapat pekerjaan dalam bidang IT di EXIM Bank, milik kerajaan melalui MOF. Untuk pengetahuan, Bank ini menjalankn operasi perbankan konvensional dan syariah. Apakah hukum untuk situasi begini? Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, diharuskan selagi tidak terlibat secara langsung mempromosikan atau menjalankan apa-apa urusan berkaitan produk konvensional. Bagaimanapun sekiranya ada pilihan untuk bekerja di tempat lain, maka elakkanlah daripada bekerja di bank konvensional kerana dibimbangi ada percampuran di antara yang halal, riba dan syubhah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Nu'man Ibnu Basyer RA. beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.” (Riwayat al-Bukhari) Kesimpulannya jika pekerjaan tuan berkaitan IT adalah dengan menjadi pereka (designer) dan penyelenggara kepada sistem perbankan konvensional (merekodkan riba) pastinya ia adalah tidak dibolehkan. Pekerjaan yang asalnya adalah halal tetapi menyumbang kepada memudahkan perkara haram dilaksanakan, maka hukumnya juga adalah haram seperti individu-individu yang bekerja di bank konvensional dan syarikat insurans konvensional. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud; “Dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” (al-Maidah : 2) Tetapi, jika memudaratkan diri seperti anak dan isteri perlu ditanggung. Maka, boleh kerja di situ untuk sementara waktu, dalam masa yang sama hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari pekerjaan lain yang halal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.