BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan. Saya ada membaca bahawa jodoh itu merupakan takdir. Tapi ada juga yang mengatakan takdir itu boleh diubah dengan doa. Jadi apakah salah kalau kita berdoa kepada Allah supaya dijodohkan dengan orang tertentu?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, tidak salah bahkan digalakkan untuk berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar dipertemukan jodoh dengan pilihan hati. Namun dari sudut lain, soal jodoh itu adalah rahsia dan hak Allah untuk menentukannya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan". (ar-Ra'd : 39) Boleh jadi pilihan hati sendiri atau orang yang kita suka, belum tentu menjadi jodoh kita. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah : 216) Adapun, setiap manusia itu Allah jadikan pasangan masing-masing. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan”. (an-Najm : 45) Sebaiknya, berdoalah agar jodoh yang bakal Allah kurniakan kelak adalah dalam kalangan orang-orang yang beriman yang boleh memimpin keluarga, baik, rajin, bertanggungjawab dan sebagainya disamping berusaha dan berikhtiar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 220

message user image