Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apa hukum untuk wanita yang dalam edah menziarahi org sakit di hospital dan bolehkah mereka menghadiri majlis tahlil untuk arwah di masjid/surau.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wanita yang kematian suaminya, bukan sahaja wajib beriddah, malah mereka juga wajib berihdad (tidak berhias). Adapun, menziarahi orang sakit hukumnya sunat. Justeru, antara perkara yang wajib dan sunat, keutamaannya adalah yang wajib. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ Maksudnya : Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. (al-Baqarah : 234) Begitu juga mereka adalah dilarang untuk keluar dari rumahnya pada waktu malam. Termasuklah menghadiri majlis tahlil di masjid/surau. Selain itu tahlil dan doa masih boleh dilakukan secara bersendirian di rumah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.