BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, boleh saya tahu isteri saya memang tidak dinafikan menjaga dengan baik anak-anak saya tapi urusan suami dia seolah-olah ambil ringan atau tidak peduli sampaikan saya terasa kecil/makan hati dengan tindakan dia. Dalam perkara apa hukum isteri saya adakah dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, sebaiknya, suami dan isteri hendaklah berbincang dan berterus terang secara hikmah, nyatakan hasrat dan kehendak tuan pada isteri. Tindakan ini diambil sebelum keadaan berlaku lebih serius. Ia perlu ditangani bagi mewujudkan suasana kehidupan berumahtangga yang harmoni. Dalam Islam, isteri wajib taat suaminya selagi mana ketaatan itu tidak menyalahi syarak. Seorang isteri berdosa jika menyakiti hati suaminya. Nasihatkanlah isteri supaya mengambil berat dan juga prihatin dalam menjaga urusan suaminya, kerana itulah yang menjadi keutamaannya, agar suami tidak merasa dirinya terabai dan berkecil hati. Untuk mendapat kasih sayang daripada isteri, suami juga wajib memberi kasih sayang kepada isteri. Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (ar-Ruum : 21) Disamping itu, urusan berkaitan anak-anak boleh dilakukan bersama, kerana ia juga merupakan kewajipan dan tanggungjawab kedua ibu bapanya. Semoga tuan sekeluarga beroleh berkah dan bahagia dunia dan akhirat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 197

message user image