Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan/Puan, Saya datang haid pada 1 Oktober 2019 dan suci dari haid pd 15 Oktober 2019( lumrah saya mengalami haid sehingga 15 hari ),tetapi saya mengalami haid kedua pada 24 Oktober 2019 (dengan darah dan simptom haid seperti biasa). Dan saya mengalami tempoh suci kurang dari 15 hari pd setiap bulan. Saya mohon penjelasan adakah haid kedua saya itu dikira haid atau masih darah penyakit,dan bagaimana saya ingin mengira kitaran haid saya pd setiap bulan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, permasalahan haid ini hendaklah dilihat dari beberapa aspek. Jika kitaran haid puan adalah tetap setiap bulan, maka pendarahan yang berlaku bukan pada waktunya, adalah darah istihadah. Lebih-lebih lagi puan yakin ia adalah haid berdasarkan kepada warna, ciri dan sifat-sifat darah haid. Sudah tentu puan sendiri lebih kenal dengan haid puan. Manakala haid kedua pula, sudah tentu adalah haid, kerana puan sendiri yakin ia adalah haid yang normal. Sekalipun ia tidak genap 15 hari tempoh suci dari kitaran haid yang seterusnya. Keadaan ini boleh berubah dengan izin Allah dan dengan kondisi tubuh badan wanita itu sendiri. Faktor usia, hormon, pemakanan, gaya hidup, emosi dan sebagainya juga boleh mempengaruhi kondisi tubuh masing-masing terhadap kitaran haid. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.