Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum jika ibu bapa berhutang dengan anak, tetapi tidak dibayar.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, setiap hutang wajib dibayar, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”. (Riwayat at-Tirmizi) Bagaimanapun dalam situasi ibu bapa yang berhutang dengan anak-anak, ia bergantung kepada keadaan. Jika ibu bapa dalam keadaan tidak ada kemampuan, maka ia berada dalam tanggungan anak lelaki yang mempunyai kemampuan, sehingga tidak mewajarkan ibu bapa sampai berhutang. Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya; أَنَّ رَجُلًا قَال: يَا رَسُوْلِ اللهِ! إِنَّ لِي مَالاً وَوَلدًا وإِنَّ أَبِيْ يُرِيْدُ أَنْ يَجتاح مَالِيْ. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَ سَلَّمَ : أَنْتَ وَ مَالُكَ لِأَبِيْكَ Maksudnya : "Suatu hari ada seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, akan tetapi bapaku ingin mengambil harta itu dariku? Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu milik bapamu" (Riwayat Ibnu Majah) Hadis lain pula yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda; عن عائشة عن النبي صلى الله عليه و سلم أنه قال ” ولد الرجل من كسبه من أطيب كسبه فكلوا من أموالهم “ Maksudnya : “Anak seseorang itu termasuk jerih payah orang tersebut bahkan termasuk jerih payahnya yang paling bernilai, maka makanlah sebahagian harta mereka (anak-anak)” (Riwayat Abu Daud) Jika hutang itu sebaliknya, dari anak kepada ibu bapa, ia wajib dibayar. Dan jika si bapa meninggal dunia sebelum sempat dibayarnya, ia menjadi harta peninggalan bapa yang wajib difaraidkan. Dalam keadaan bapa berhutang dengan anak perempuan hasil daripada pemberian suaminya, ia hampir sama seperti berhutang dengan orang lain. Ia wajib membayarnya, kerana antara mertua dan menantu tidak saling mewarisi harta. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.