Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ibu saya ingin membayar hutang arwah suami and bapa beliau tetapi orang yang memberi hutang tidak dapat dijumpai. Bagaimana caranya untuk beliau membayar/melunaskan hutang2 tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, membayar hutang kepada pemberi hutang yang tidak dapat dijumpai adalah seperti berikut: i. Berusaha sedaya-upaya mencari orang yang memberi hutang, jika telah meninggal dunia hendaklah mencari warisnya serta tidak mudah berputus asa. Carian boleh dibuat melalui pelbagai medium (elektronik dan bercetak). ii. Jika gagal, maka sedekahkan berdasarkan nilai hutang tersebut atas nama pemberi hutang untuk kepentingan kaum muslimin atau diserah ke Baitulmal. iii. Namun, jika terjumpa orang tersebut (pemberi hutang) jelaskan kepadanya berkenaan sedekah tersebut. Jika dia tidak redha akan perbuatan sedekah bagi menggantikan hutangnya, maka wajib melunaskan kembali hutang tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.