BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum ustaz Sy ingin bertanya ttg masalah 1) jika telah berkahwin selama 2 tahun tetapi belum pernah terjadi persetubuhan (jima') kerana ketidakmampuan isteri utk berjima, sy ingin tahu adakah sepjg tempoh perkahwinan 2 tahun itu suami wajib beri nafkah kpd isteri tersebut 2) bagaimanakah hubungan suami dgn ibu mertua, mahram atau bkn mahram kerana tiada persetubuhan yg berlaku 3) bagaimanakah hubungan si isteri dgn anak tiri (anak suami) adakah boleh bersentuhan/bkn mahram 4) jika berlaku perceraian adakah si isteri kekal mahram dgn anak tiri 5) adakah tempoh edah dan mutaah yg boleh di tuntut oleh si isteri kerana persetubuhan tidak berlaku disebabkan keuzuran pihak isteri 6) berdosakah si suami jika ingin menceraikan siisteri kerana tifak dapat berperanan sbg isteri (berjima)


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Selagi dalam tempoh perkahwinan dan isteri tidak disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Syariah, suami berkewajipan untuk memberi nafkah kepada isterinya walaupun belum pernah disetubuhi. Adapun, sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi, maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya. 2. Hubungan suami dengan ibu mertua, tetap mahram kerana telah berlakunya pernikahan antara anak dan menantu mereka. 3. Hubungan isteri dengan anak suami adalah bukan mahram, kerana perkahwinan bapa kandungnya dengan ibu tiri tersebut (isteri) tidak berlaku bersetubuhan. 4. Hubungan mereka tetap bukan mahram apabila bercerai. 5. Tiada tempoh iddah bagi isteri yang diceraikan tanpa disetubuhi dan isteri boleh menuntut mut’ah. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”. (al-Ahzaab : 49) Isteri juga berhak mendapat separuh daripada bayaran mas kahwin yang telah ditetapkan kerana belum disetubuhi oleh suaminya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud; “Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan. Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah : 236 - 237) 6. Suami tidak berdosa jika ingin menceraikan isterinya kerana sebab yang dinyatakan. Ia juga tidak menyalahi hukum dan undang-undang. Pembubaran perkahwinan melalui Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor menyatakan antara sebab-sebab perkahwinan boleh dibubarkan adalah sebagaimana link berikut ; http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Upd.nsf/f831ccddd195843f48256fc600141e84/6bcbd4199d4433ce48257115000d6a13?OpenDocument والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 261

message user image