Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya sudah mengerjakan umrah dan haji. Mana lebih apdal sy pergi buat umrah dgn belanja 12K atau sy taja org mengerja haji atau umrah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, oleh kerana tuan telah menunaikan rukun haji dan ibadah umrah, adalah lebih afdhal bagi tuan menaja orang lain menunaikan haji atau umrah. Ini kerana memenuhi hajat orang lain amat digalakkan dalam Islam. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari) Namun, jika masih ada harta yang lebih, boleh sahaja menunaikan umrah lagi kerana fadhilatnya cukup besar. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda; العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما والحج المبرور ليس له جزاء إلا الجنة Maksudnya : "(Pahala) satu kali Umrah sampai Umrah (berikutnya, dapat) menghapus dosa yang terjadi antara keduanya. Dan Haji yang mabrur (diterima Allah) tiada balasannya melainkan syurga." (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.