Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam, Pihak kami telah membuat kutipan kpd jemaah melalui 'Dana Jariah' sejak awal tahun ini dan telah mencukupi duit berkenaan. Kami juga memohon sumbanga dari swasta dan OCR. Alhamdulillah, pada Oktober lalu, pihak kami mendapat maklum balas dari Tabung Haji yg bersedia menyumbangkan sebuah van jenazah untuk surau kami "Surau Terbaik Negeri Selangor 2018" di kalangan 25 masjid yg disumbangkan itu, Surau Al-Ikhwan iaitu satu2nya surau yg dipilih di seluruh negara. Pertanyaan saya: 1) Bolehkah duit "Dana Jariah" bagi pembelian van jenazah digunakan bagi kegunaan berkaitan khairat seperti pembayaran elaun pemandu van jenazah, baik pulih van dan penyelenggaraan van dll? 2) Apa pandangan Tuan Mufti, adakah dibenarkan dana jariah itu bagi penganjuran kursus2 yang membabitkan kematian spr kursus jenazah dll. 3) Apa pula pandangan mufti? Ada antara penyumbang dana jariah yg berniat untuk pembelian van jenazah, tetapi kami belum membelinya kerana adanya van sumbangan meminta mengembalikan duit dana jariah itu kpd yg empunya, itu kalau berjaya dikesan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, kegunaan kutipan “Dana Jariah” itu kembali kepada tujuan dan niat dana tersebut dikutip oleh pihak surau. Jika tujuannya termasuk urusan berkaitan khairat seperti elaun pemandu van jenazah, baik pulih, penganjuran kursus-kursus jenazah dan seumpamanya. Hukumnya adalah harus. Jika ada penyumbang yang berniat membeli van jenazah, maka teruskanlah niat tersebut sebagai amal jariahnya. Walaupun pihak surau menerima van sumbangan dari Tabung Haji. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan untuk kegunaan ahli kariah. Tetapi, jika ada penyumbang meminta dikembalikan semula wangnya disebabkan telah ada van jenazah sumbangan, maka ia ibarat menarik balik pemberian sedekahnya, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menarik balik hibahnya (pemberiannya) seperti anjing yang muntah kemudian memakan muntahnya kembali.” (Riwayat al-Bukhari) Walau bagaimanapun, jika ada kegunaan yang lebih utama selain membeli van (kerana telah menerima sumbangan daripada TH), pihak surau bolehlah menghebahkan kepada sekalian jemaah, dalam tempoh yang munasabah tentang cadangan tersebut. Bagaimanapun ia perlu diputuskan melalui suatu mesyuarat serta diminitkan. Ini kerana pihak surau hanya pemegang amanah sahaja, maka sebarang perubahan hendaklah diputuskan dalam mesyuarat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.