Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt Saya ingin bertanya, adakah boleh bagi seseorang muslim memegang al quran dgn terjemahan tanpa wudhuk? Apakah hukumnya? Al -quran beserta terjemahan yang dimaksudkan adalah al-quran dan terjemahan yang biasa.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Adapun di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak dari tafsirnya. Sekira tafsirnya lebih banyak dari ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`[3]: كِتَابُ تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ إنْ كَانَ الْقُرْآنُ فِيهِ أَكْثَرَ كَبَعْضِ كُتُبِ غَرِيبِ الْقُرْآنِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَحَمْلُهُ وَجْهًا وَاحِدًا كَذَا ذَكَرَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ وَنَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ Maksudnya: Kitab tafsir al-Quran, sekiranya pada tafsir itu terdapat banyaknya al-Quran (ayat-ayatnya) seperti sebahagian kitab-kitab gharib al-Quran, maka diharamkan untuk menyentuh dan membawanya pada pendapat yang satu. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Mawardi dan selainnya dan dinaqalkan juga oleh al-Ruyani daripada ashab. Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.