Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ada pendapat melarang sidai pakaian di dalam bilik mandi atau tandas kerana syaitan akan masuk ke dalam pakaian tersebut dan sekaligus terkena pada sipemakai pakaian tersebut. Adakah benar pendapat tersebut? Mohon pencerahan.Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, adalah tidak benar pendapat yang mengatakan sedemikian. Ini kerana, ia berbalik kepada individu tersebut. Pertamanya, adab memasuki tandas/ bilik air, sudah tentu kita akan membaca doa agar terhindar dari syaitan. Sama ada kita masuk ke dalam tandas untuk melepaskan hajat atau mencuci pakaian atau membersihkan tandas. Justeru, syaitan tidaklah “meresap” pada pakaian yang disidai dalam bilik air seperti yang didakwa. Syaitan adalah makhluk yang tidak boleh dilihat, justeru ia boleh meresap masuk ke mana-mana tempat dengan izin Allah SWT, begitu juga ia boleh masuk ke dalam hati dan tubuh manusia. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Shofiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan menyusup masuk dalam diri manusia melalui peredaran darah”. (Riwayat al-Bukhari) Sebab itu setiap perbuatan yang kita lakukan, jadikanlah doa sebagai amalan dan pelindung diri kita dari gangguan syaitan. Begitu juga ketika hendak memakai pakaian. Kalau pun ada larangan itu, ia hanya merupakan kaedah yang biasa dilakukan oleh orang-orang tua supaya tidak menyidai pakaian di tandas kerana boleh menimbulkan gangguan dalam keadaan ruang yang memang sedia sempit. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.