Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya pada awal bulan saya mengalami haid (tidak normal dari segi rupa) dan tempoh adalah singkat. warna haid tersebut tidak sama seperti sebelum ini (bercampur dengan keputihan). haid juga tidak banyak . Namun hujung bulan saya mengalami haid (normal seperti biasa ). Apabila saya mengira tempoh suci. Ia tidak sampai tempoh suci 15 hari. Soalan saya 1. adakah haid pertama (tidak normal) dianggap istihadah? 2. Adakah tempoh haid kedua (yang belum sampai tempoh suci(lagi 3 hari genap 15 hari)) dianggap istihadah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, permasalahan haid ini hendaklah dilihat dari beberapa aspek. i. Jika kitaran haid puan adalah tetap setiap bulan, maka pendarahan yang berlaku bukan pada waktunya adalah istihadah (pendarahan awal bulan). Lebih-lebih lagi puan yakin ia bukannya haid berdasarkan kepada warna, ciri dan sifat-sifat darah haid. Sudah tentu puan sendiri lebih kenal keadaan haid puan. ii. Pendarahan yang berlaku pada hujung bulan pula, sudah tentu adalah haid, kerana puan sendiri yakin ia adalah haid yang normal. Sekalipun ia tidak genap 15 hari tempoh suci dari kitaran haid yang seterusnya. Keadaan ini boleh berubah dengan izin Allah dan dengan kondisi tubuh badan wanita itu sendiri. Faktor hormon, pemakanan, gaya hidup, emosi dan sebagainya juga boleh mempengaruhi kondisi tubuh masing-masing. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.