Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t, Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan, Saya ingin bertanya berkenaan hukum menyimpan matawang kripto seperti bitcoin,ethereum, Dan lain-lain matawang kripto. Kedua, jika simpanan atau pembelian Yang murah manakala Kita menjual nya ketika harga Yang sedikit tinggi dari Yang asal, apakah status hukum tersebut. Mengikut pandangan panel syariah bank negara, jika tidak silap saya, hukum nya tidak haram. Jika saya tidak salah faham dengan penerangan tersebut. Akan tetapi saya ingin meminta pandangan dari Tuan/Puan mungkin pandangan Yang berbeza. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Ulamak kontemporari pada hari ini berselisih pandangan tentang hukum menyimpan matawang kripto. Ada pandangan yang mengharamkan terus dan seterusnya ada pandangan yang mengharuskan tetapi dengan syarat-syarat yang ketat. Segala urusan berkaitan dengan matawang di Malaysia adalah di bawah penyeliaan dan kawalan Bank Negara Malaysia, untuk urusan matawang kripto ianya adalah matawang yang belum diiktiraf sebagai matawang yang sah di Malaysia. Secara umumnya harus bagi seseorang individu menyimpan matawang kripto dengan ilmu yang mencukupi kerana pembelian tanpa ilmu berkaitan dengan sesuatu yang akan dibeli itu merupakan suatu gharar (ketidakpastian) yang wajib dielakkan. Namun, sebarang keharusan ini juga bergantung dengan undang-undang yang akan digubal. Sebagai contoh, seandainya hasil kajian secara menyeluruh yang dilakukan mendapati terlalu banyak kemudharatan, penyelewengan dan sisi negatif matawang kripto dan kerajaan mengharamkannya di Malaysia maka hukum pada waktu itu juga berubah daripada harus kepada haram kerana sesuatu yang telah dilarang di sisi undang-undang maka ia juga adalah dilarang dari sudut syariah. 2. Menjual sesuatu barangan dengan harga baru yang lebih tinggi yang munasabah adalah diharuskan, ia dipanggil “بيع المرابحة”. Sebagai peniaga segala kos mestilah diambilkira. Namun janganlah pula berlebih-lebihan serta sentiasa bersikap jujur sebagaimana Nabi SAW bersabda: اَلتَّاجِرُ الصَّدُوْقُ الْأَمِيْنُ مَعَ النَّبِيِّيْنَ وَالصِّدِّيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاء Maksudnya : “Peniaga-peniaga yang jujur lagi amanah (akan dibangkitkan pada hari qiamat) bersama para nabi, orang-orang yang sentiasa jujur, dan orang-orang yang mati syahid.” (Riwayat At-Tirmidzi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.