BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya jatuh ke talak yang suami saya lafazkan semasa kami dalam keadaan bergaduh teruk sehinggakan saya tidak dapat mengawal emosi saya dengan mencederakan diri saya dan menendang cermin kereta banyak kali sehingga retak dan suami yang terkejut dengan tindakan saya secara tak sengaja mengucapkan ya ok aku ceraikan kau. Akibat desakan dari diri saya yang seperti di rasuk. Namun selepas beberapa minit dia menenangkan saya kembali dan sekarang kami telah berbaik semula. Suami kata dia tiada niat untuk bercerai ketika itu. Lebih kepada amarah pada ketika itu kerana saya seperti di rasuk. Saya berasa amat menyesal dengan tindakan bodoh saya terhadap suami kerana saya menjerit , mencakar suami, mencederakan diri dan menendang cermin kereta hingga rosak. Say berharap dapat penjelasan dari pihak Tuan / Puan terhadap status talak yang di sebutkan oleh suami saya. Maafkan saya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, status talak berdasarkan kepada lafaz suami iaitu ; “Ya ok aku ceraikan kau”, adalah lafaz cerai yang soreh iaitu jelas maksudnya. Bagi lafaz cerai yang soreh, ia tidak memerlukan kepada niat. Sekalipun suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya talak tetap jatuh. Ini kerana lafaz talak tidak boleh dilafaz dengan sewenang-wenangnya kerana ia memberi kesan ke atas perkahwinan. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk”. (Riwayat Abu Daud) Bagaimanapun desakan atau situasi semasa lafaz tersebut diucap, keputusannya akan disahkan oleh Hakim Syarie. Oleh itu puan dan suami hendaklah mengemukakan perkara ini terus ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk tindakan seterusnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 140

message user image