Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Saya baru kematian suami pd 4/11/2019 Saya sedang berkabung dan melalui tempoh eddah Soalan saya Saya tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk keperluan. Bagaimana dengan melawat mak yang uzur di kampung dan membawa anak ke tempat2 spt zoo sempena cuti sekolah kerana saya tiada sesiapa di sini untuk menguruskan aktiviti cuti anak saya seramai 3 org. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi wanita yang sedang beriddah kematian suami, mereka bukan sahaja wajib beriddah tetapi juga berihdad (tidak berhias) sepanjang tempoh iddah. Ini berdasarkan kepada hadith nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda: لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا Maksudnya : Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari) Berdasarkan hadith ini, wanita yang dalam ihdad dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika ada keperluan. Ini kerana keadaan waktu malam yang tidak selamat berbanding waktu siang. Bahkan waktu siang adalah waktu bekerja, mencari nafkah dan sebarang urusan berkaitan hajat manusia. Mereka juga boleh berbicara dengan ahli keluarganya, menguruskan hal ehwal anak-anak dan rumahnya, serta mendapatkan keperluan asas hidupnya. Justeru, puan boleh keluar melawat mak yang uzur di kampung, tetapi hendaklah keluar pada siang hari sahaja dan ditemani mahram. Rancang perjalanan pergi dan balik. Sebaiknya boleh juga dapatkan bantuan dari ahli keluarga lain atau jiran-jiran yang berhampiran tentang urusan anak-anak. Atau buat aktiviti yang sesuai dalam tempoh iddah puan. Dan fahamkan pada anak-anak tentang keadaan puan yang sedang beriddah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.