Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah jatuh talak sekiranya seorang suami menghtr wasap berbunyi spt ini " bulan disember kita berpisah" dan bebrp hri kemudian menghtr wasap " bulan disember ko jdi janda...gntung x bertali"
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, teks Whatsapp yang diterima dari suami; “bulan disember kita berpisah” dan “bulan disember ko jdi janda...gntung x bertali”, merupakan teks talak secara kinayah (yang tidak jelas maksudnya). Justeru, ia memerlukan kepada niat suami. Jika suami tidak berniat talak, maka tidak jatuh talak. Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor Bil. 3/2003 yang bersidang pada 8 - 10 Ogos 2003 berkenaan : Hukum Cerai Melalui SMS, memutuskan bahawa: i. Hukum penceraian melalui SMS adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut: a. Bahawa pengirim SMS itu adalah suami b. Bahawa penerima SMS adalah isteri c. SMS itu telah pun dibaca oleh penerima d. Suami berniat untuk menceraikan isteri ii. Penceraian melalui SMS yang tidak memenuhi syarat-syarat dalam perkara di atas adalah tidak sah dan ianya ditentukan oleh Mahkamah Syariah. iii. Penceraian melalui SMS adalah sama kaedahnya dengan penceraian melalui kata-kata yang tidak jelas (sindiran) termasuk penulisan seperti surat, faksmili, telefon dan e-mail. Kesemuanya termasuk dalam talak kinayah. iv. Penceraian melalui SMS adalah perbuatan yang tidak sopan dan tidak beradab. Ianya seolah-olah merendahkan martabat wanita itu sendiri. Rujukan fatwa perceraian melalui sms : http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/875-hukum-cerai-melalui-sms Oleh itu, sama ada jatuh talak atau tidak, puan hendaklah mengemukakan isu ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk tujuan pengesahan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.