BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, 1) Adakah seseorang dapat dosa jariah walaupun setelah bertaubat? Contoh, beberapa orang membuat "group" maksiat di media sosial. Mereka mengajak orang untuk membuat maksiat & sebagainya. Akan tetapi, seseorang di dalam kumpulan itu rasa bersalah & bertaubat. Jadi, adakah dia mendapat dosa jariah? 2a) Sesetangah pihak kata muzik diharamkan & dihalalkan. Bolehkah tuan/puan kemukakan pendapat ulama tentang muzik? 2b) Jika terdapat pendapat yang halalkan muzik, adakah muzik yang hanya menggunakan alat instrumen, komputer & alat electronik seperti launchpad, midi & lain-lain, boleh didengari? Dengan syarat, ia tidak mempunyai unsur lagho seperti kata-kata lucah & lain-lain.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Mereka yang telah bertaubat, sebaiknya hendaklah mengajak ahli kumpulan (group) Whatsapp tersebut sama-sama bertaubat dan meninggalkan perbuatan maksiat, serta keluar dari menyertai group tersebut. Dalam memilih kawan atau kumpulan, hendaklah memilih dan berkawan dengan orang yang baik-baik, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: انما مثل الجليس الصالح والجليس السوء كحامل المسك ونافخ الكير. فحامل المسك اما ان يحذيك واما ان تبتاع منه. واما ان تجد منه ريحا طيبة. ونافخ الكير اما ان يحرق ثيابك واما ان تجد ريحا خبيثة Maksudnya : “Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat, tidak berubah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya kamu diberi minyak wangi atau kamu membeli daripadanya atau paling tidak kamu dapat mencium baunya. Adapun tukang besi, boleh jadi bajumu akan terbakar kerananya atau kamu mendapat bau yang busuk daripanya”. (Riwayat Muslim) Tidaklah dinamakan dosa “jariah”, kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruk ke atas diri masing-masing. Siapa yang melakukan dosa, mereka juga tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, firman Allah SWT: Maksudnya : “Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” (al-Israa’ : 15) 2. Tiada dalil yang qat’ie berhubung pengharaman alat muzik sama ada bentuk bertali atau berbentuk tiupan. Ulamak mutaakhirin mengharuskan penggunaan alat muzik selagi mana ia digunakan dalam perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengingatkan kepada akhirat. Tetapi jika penggunaannya mengundang kepada perkara yang haram dan lalai daripada melaksanakan suruhan Allah SWT, maka ia diharamkan. Sehubungan itu, saudara boleh muat turun garis panduan berkenaan hiburan di link berikut: http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2015/626-garis-panduan-hiburan-dalam-islam والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 277

message user image