Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya berkenaan iddah kematian suami, bolehkah seorang isteri yang kematian suami dalam tempoh iddah keluar dari rumah miliknya atau suaminya bermusafir ke rumah anaknya? ini kerana, ibu ini akan tinggal seorang diri dirumahnya dan anak-anaknya bimbang akan keselamatan ibunya. semua anak-anaknya bekerja jauh dari tempat tinggal ibunya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wanita yang sedang beriddah tidak dibenarkan keluar bermalam di rumah lain. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) Oleh kerana keadaan ibu yang akan tinggal seorang diri, maka dibenarkan berpindah ke tempat penginapan yang baharu. Pergi pada waktu siang ditemani dengan mahram. Kemudian terus tinggal ditempat baharu hingga habis iddah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.