Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Suami saya tidak membenarkan saya berhubung dengan abang ipar dan biras saya kerana perselisihan mereka ADIK beradik.Apakah hukumnya jika saya berhubung dengan mereka tanya pengetahuan suami kerana saya tidak mahu memutuskan silaturahim.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, menghubungkan silaturrahim adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga. Sebaliknya, orang yang memutuskan silaturrahim adalah perbuatan yang dilarang (berdosa besar). Hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Muth’im, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan ikatan silaturahim”. (Riwayat al-Bukhari) Oleh itu puan tidak perlu patuh kepada larangan suami dalam hal ini. Bagaimanapun, tindakan puan perlu berhikmah, tidak tergesa-gesa atau gunakan orang tengah yang amanah dan mampu memainkan peranannya bagi mendamaikan situasi tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.