Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin membatalkan sumpah. Menurut hukum yg sedia ada, yang pertama harus memberikan 10 orang miskin. Apakah boleh saya membayar dengan wang ke pusat zakat sebagai ganti kepada memberikan makan 10 orang miskin tadi. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, kaffarah bagi sumpah kaedahnya hendaklah memberi makanan atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin, atau memerdekakan seorang hamba. Jika tidak dapat melaksanakannya, hendaklah berpuasa selama 3 hari sebagai penebus sumpah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah – sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum) ugamaNya supaya kamu bersyukur”. (al-Maidah : 89) Boleh dibayar ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan nilai duit dan nyatakan ia adalah kaffarah. Pihak LZS sebagai wakil yang akan serahkan kepada fakir miskin. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.