Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada beberapa persoalan.. 1) Adakah zikir dlm hati boleh mendapat pahala? 2) Jika seseorang itu terbayang perkataan 'SUBHANALLAH', tetapi tidak menyebutnya di dlm hati, adakah dikira zikir? 3) Jika seseorang itu terbayang perkataan 'SUBHANALLAH' dan ingin menyebutnya di dalam hati, tetapi cuma dapat menyebut perkataan 'SUBHAN..' di dlm hati, perkataan '..ALLAH' tidak dapat disebut jelas dalam hati, adakah dikira zikir? 4) Adakah zikir boleh menghapuskan dosa? Jika ya, berapa kadar zikir bersamaan dengan kadar dosa yg boleh dihapuskan. 5) Adakah zikir jika disebut perlu disebut dengan tajwid yg betul, baru boleh mendapat pahala? 6) Bagaimanakah cara mandi taubat dan solat sunat taubat yg paling mudah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan, penjelasannya ialah sebaik-baik zikir adalah digabungkan diantara sebutan zikir dan menghadirkan hati dengan mengingati Allah SWT. Walau bagaimanapun, zikir di dalam hati semata-mata atau dengan sebutan semata-mata tetap dikira zikir kerana ia termasuk dalam maksud zikir kepada Allah SWT dan akan mendapat ganjaran pahala yang setimpal inshaAllah. Abu Hurairah RA meriwayatkan di dalam satu hadis qudsi, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda ; يقُولُ اللَّه تَعالى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعهُ إِذَا ذَكَرَني، فَإن ذَكرَني في نَفْسهِ، ذَكَرْتُهُ في نَفسي، وإنْ ذَكَرَني في ملإٍ، ذكَرتُهُ في ملإٍ خَيْرٍ منْهُمْ . Maksudnya ; Allah SWT berfirman, Aku adalah sepertimana yang hambaKu sangkakan, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, maka jika dia mengingati Aku dalam dirinya (dalam hati), nescaya Aku akan mengingatinya dalam diriKu, dan jika dia mengingatiKu di khalayak ramai (nyaring), nescaya Aku akan mengingatinya di khalayak yang lebih baik dari itu. (Riwayat al-Bukhari) Bermakna, zikir di dalam hati adalah salah satu kaedah berzikir yang dianjurkan di dalam Islam dan akan mendapat pahala inshaAllah. Jika seseorang terbayang perkataan zikir tanpa menyebut di dalam hatinya atau menyebut separuh dari perkataan zikir di dalam hati maka ia tidak dikira sebagai zikir. Zikir adalah perbuatan yang baik (الحسنات) dan tentunya boleh menghapuskan dosa yang pernah dilakukan. Adapun kadar dosa yang terhapus hanya diketahui oleh Allah SWT dan kita sebagai hamba hanya dituntut untuk terus memperbanyakkan perbuatan baik dan sentiasa bertaubat dari kesalahan yang dilakukan. Allah SWT berfirman ; وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ Maksudnya : “Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Hud : 114) Tidak dituntut kepada seseorang untuk berzikir dengan meraikan hukum tajwid dengan sempurna kerana zikir bukanlah al-Quran. Keistimewaan tersebut hanya dikhususkan ketika membaca ayat al-Quran sahaja. Cukuplah seseorang berzikir dengan meraikan sebutan yang tepat dengan maksud zikir tersebut. Firman Allah SWT di dalam; أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا Maksudnya: “Ataupun lebihkan sedikit (waktu solat malam) daripada (separuh malam); dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (al-Muzammil : 4) Tiada asal yang jelas di dalam Islam berkaitan pensyariatan mandi taubat bagi seseorang yang ingin bertaubat. Syarat taubat adalah ikhlas dalam bertaubat, segera meninggalkan dosa, menyesal, berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut, memulangkan hak orang lain jika berkaitan dan bertaubat sebelum tiba waktu hampir mati (nazak). Disunatkan juga kepada seseorang yang bertaubat untuk menunaikan solat sunat taubat seperti yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ; مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ، ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ : "وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ". Maksudnya : “Tiada seorang hamba yang melakukan dosa kemudian dia terus berwudhuk dan solat dua rakaat kemudian beristighfar, kecuali Allah SWT akan memberi pengampunan kepadanya” , kemudian Rasulullah SAW membaca ayat “Dan mereka (orang bertaqwa) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera mengingati Allah SWT kemudian beristighfar dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah SWT dan mereka tidak berterusan melakukan dengan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya”. (Riwayat Abu Daud) Solat taubah yang paling mudah adalah dengan melaksanakannya sebanyak dua rakaat dengan membaca mana-mana ayat al-Quran selepas surah al-fatihah pada setiap rakaat. Kaifiyatnya sama seperti solat sunat taraweh atau solat sunat tahajjud. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.