BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Saya ada anak istimewa. Dia ada masalah pembelajaran. Hanya boleh ckp ayah. Abu. Amin. Kakak dan nak ikut itu pun bila ditanya saja. Kalau tidak ditanya dia akan berdiam saja. Berumur 11 tahun. Pertanyaan saya ialah perlukah anak saya ini disunatkan. Terima kasih Ustaz.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, diantara perkara yang disunatkan kepada ibu atau bapa apabila menyambut kelahiran cahaya mata adalah dengan mengkhitankan (bersunat) anak lelaki pada hari ke tujuh kelahiran jika keadaan fizikalnya pada ketika itu sudah kuat dan mampu menahan sakit bersunat. Namun jika keadaan bayi tersebut masih belum cukup bersedia, maka boleh dilewatkan sehingga sebelum baligh. Hadis riwayat Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda ; الفِطرةُ خَمسٌ، أَوْ خمْسٌ مِنَ الفِطرةِ: الخِتان، وَالاسْتِحْدَادُ، وَتقلِيمُ الأَظفَارِ، ونَتف الإِبِطِ، وقَصُّ الشَّارِبِ Maksudnya : “Fitrah ada lima perkara atau lima perkara daripada fitrah iaitu khitan (bersunat), istihdad (cukur bulu kemaluan), memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan memendekkan misai.” (Riwayat al-Bukhari) Walau bagaimanapun, para Ulama’ telah menentukan satu kaedah iaitu; لا ضرر ولا ضرار Bermaksud : Tidak boleh (Haram) melakukan perkara yang memudhoratkan diri sendiri atau orang lain Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 telah membincangkan Hukum Khatan Bagi Pesakit Heamophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal. Muzakarah telah memutuskan bahawa: 1. Pesakit heamophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit heamophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah. 2. Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik. Justeru, merujuk kepada dalil dan pandangan hukum tersebut, puan hendaklah mendapatkan nasihat dan ulasan pakar perubatan berkaitan kesan sampingan kepada tahap kesihatan anak sekiranya melakukan khitan. Jika khitan tidak memberi masalah kepada kesihatan anak, maka ianya perlu dilakukan sebagai mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, sekiranya ia boleh memberi atau menambah kesan negatif kepada perkembangan tahap kesihatan anak, maka khitan tidak perlu dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 110

message user image