BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Tn. Apa yg saya faham jika kita membuat haji Tamataq kita kena membayar dam ketana kita mengerjakan umrah dalam bulan haji. Sebaik saja kita sampai ke Makkah kita akan membuat umrah dan damnya kita telah bayar di Tabung Haji sebelum kita bertolak. Sementara menunggi hari wukuf bolehkah kita mengerjakan umrah lagi?. Jika kita mengerjakan umrah lagi adakah kita kena membayar dam lagi? Sekian Tuan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, sebenarnya dam yang dibayar di Tabung Haji sebelum bertolak itu lebih kepada memudahkan pengurusan (dibayar dan diakadkan kerana kita telah putus berazam untuk buat haji tamattu’). Bayaran dam yang diwajibkan sebenarnya adalah setelah kita berniat dan selesai mengerjakan umrah. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).” (al-Baqarah : 196) Kita boleh mengerjakan umrah lagi beberapa kali yang termampu dan ia tidak lagi dikenakan bayaran dam. Bayaran dam cukup sekali yang diwajibkan kerana mengerjakan haji tamattu’. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 198

message user image