Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ada terbeli dompet berkulit khinzir dari negara China. Saya sangkakan dompet itu daripada kulit lembu kerana ia tertera pada deskripsi yang ia diperbuat dari 'cow leather'. Namun, selepas bertanya pada pengeluar, dan dia nyatakan dompet itu diperbuat daripada kulit khinzir. Saya telah pun terlanjur memesan dompet tersebut. Saya berniat mahu menjualnya juga tapi bukan kepada orang Islam. Tapi adakah boleh saya menjualnya dan mengaut keuntungan daripada jualan barangan kulit khinzir tersebut? Minta pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tidak sah dan tidak boleh menjual barangan yang diharamkan syarak, apatah lagi mengambil manfaat keuntungan daripada hasil jualan tersebut. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ عَامَ اَلْفَتْحِ وَهُوَ بِمَكَّةَ إِنَّ اَللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ اَلْخَمْرِ, وَالْمَيْتَةِ, وَالْخِنْزِيرِ, وَالْأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ ! أَرَأَيْتَ شُحُومَ اَلْمَيْتَةِ, فَإِنَّهُ تُطْلَى بِهَا اَلسُّفُنُ, وَتُدْهَنُ بِهَا اَلْجُلُودُ, وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا اَلنَّاسُ? فَقَالَ: ” لَا. هُوَ حَرَامٌ “, ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ: ” قَاتَلَ اَللَّهُ اَلْيَهُودَ, إِنَّ اَللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ عَلَيْهِمْ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ, ثُمَّ بَاعُوهُ, فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ ِ . Maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan khamer (minuman keras), bangkai, babi dan patung”. Ditanyakan : “Ya Rasulullah, bagaimana dengan lemak bangkai yang biasa dipergunakan untuk mengilapkan perahu dan mengolesi kulit serta minyak lampu?”. Rasulullah SAW bersabda : “Jangan, itu haram”. Selanjutnya sabda baginda : “Semoga Allah melaknat orang-orang Yahudi. Ketika Allah mengharamkan lemak bangkai, mereka mengolahnya dan menjualnya kemudian memakan hasil penjualannya”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.