Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, Apakah hukum bekerja dengan company swasta yang menghasilkan applikasi Fintech(Financial technology) dan menjual applikasi kepada bank, yang mana, applikasi tersebut mempunyai fungsi interest, spread dll. Bekerja sebagai Project Lead yang mana mengurustadbir applikasi ini untuk digunakan kepada pengguna(bank). daripada petikan (https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2364-al-kafi-725-kenapa-masih-ada-interest-dalam-pembiayaan-rumah-patuh-syariah')yang saya baca di bawah, 'penulisnya' juga boleh membawa maksud applikasi di zaman sekarang? Sekian, Alhamdulillah dan terima kasih Ustaz. Daripada al-Sha'bi R.A berkata: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.”Riwayat al-Nasa’i (5105)
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah menjadi tanggungjawab tuan untuk memastikan setiap pekerjaan yang diceburi adalah pekerjaan yang halal, tiada pengaruh riba dan syubhah. Kerana ketiga-tiga peringkat ini mempengaruhi keberkatan gaji/pendapatan yang diperolehi. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Nu'man Ibn Basyer RA, beliau berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya”. (Riwayat al-Bukhari) Berdasarkan pemerhatian ke atas artikel yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah adalah menyatakan perbezaan antara perbankan konvensional dan islamik khususnya dalam pembiayaan/pinjaman. Justeru ia tidak berkait dengan persoalan tuan berkaitan pekerjaan dalam bidang pembangunan aplikasi perbankkan. Secara umumnya pekerjaan adalah harus, namun disebabkan ia mempunyai unsur memudahkan perkara haram (riba’/interest) dilaksanakan. Kami cenderung ia perlu ditinggalkan. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud; “Dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” (al-Maidah : 2) Namun jika aplikasi atau sistem yang dibuat adalah untuk memantapkan perbankkan islamik adalah sesuatu yang digalakkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.