Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan. Seorang isteri baru setahun berkahwin dengan suaminya kemudian si isteri meninggal. Duit EPF bernilai RM28k dituntut semua oleh ibu arwah isteri. Katanya, si suami tidak layak dapat sebab baru setahun kawin dengan anaknya. Betulkah? Jika suami layak dapat wang peninggalan itu, berapa bahagian yang suami layak? Mereka belum di kurniakan anak. Isteri meninggalkan suami,ibu,bapa,seorang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan. Mohon pencerahan tuan yang pakar dalam bidang ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, ibu arwah isteri tidak boleh menuntut semua harta tersebut, malah dakwaannya juga tidak benar. Ini kerana si mati mempunyai suami dan layak mendapat pusaka isterinya, tidak kira berapa pun usia perkahwinan mereka. Sebelum pembahagian dilakukan, hendaklah diselesaikan segala urusan yang berkaitan si mati menggunakan duit/ harta yang ditinggalkannya seperti hutang-hutangnya, wasiat (jika ada), fidyahnya dan badal hajinya (jika belum menunaikan haji). Setelah segala urusan selesai, barulah baki duit itu difaraidkan kepada waris iaitu, suami, ibu dan bapa. Suami mendapat sebanyak 1/2 bahagian, sebagaimana firman Allah yang bermaksud ; “Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak”. (an-Nisa’ : 12) Bagi urusan pembahagian faraid, tuan juga boleh dapatkan khidmat daripada Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran atau hubungi Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri untuk penjelasan selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.