Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalamualaikum, saya ada soalan untuk kemukakan. Saya ada bertengkar dengan si suami daripada hal kecil menjadi besar, semasa pergaduhan berlaku, saya dan suami hanya bertengkar dengan masalah yg kami hadapi, tetapi keadaan menjadi buruk apabila saya keluar dari bilik dan sembunyi dibilik lain. Pada masa itu, saya tidak dengar kata2/lafaz dari si suami yg menyatakan jatuh talak dan juga kata-kata sindir yang keluar dari mulut si suami. Suami saya ada penyakit was-was yg amat teruk sehingga dia terlalu fikir yang dia telah menjatuhkan talak terhadap saya sama ada dari lafaz ataupon terlintas di dalam hati. Saya memberitahu dia bahawa saya tidak dengar perkataan-perkataan yang boleh membawa kepada taklik/kinayah, tetapi si suami memberitahu saya dia ada bercakap sesuatu tetapi dia tidak ingat akan percakapan tersebut, kami hanya bertengkar dengan perkara yg kami bincang sahaja.Soalan saya, adakah talak akan jatuh sekiranya si suami bercakap dan hanya terlintas di dalam hati tetapi tiada niat untuk menceraikan saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika percakapan suami itu ada menyebut lafaz cerai yang soreh (jelas), maka jatuhlah talak, walaupun tanpa niat. Tetapi jika percakapan suami itu menyebut lafaz kinayah (yang tidak jelas maksudnya), maka ia bergantung kepada niat suami, jika niat cerai, maka jatuh taklik, jika tiada niat cerai, maka tidak jatuh. Adapun, jika ragu-ragu sama ada lafaz atau tidak, maka dianggap tidak lafaz. Dalam keadaan ini, puan dan suami hendaklah mengemukakan perkara ini terus ke Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan oleh Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.