Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum apabila kita melihat maksiat.Era kini bnyk drama yv berunsur maksiat,Apa yg perlu saya buat .Adakah ibadat saya diterima ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, melihat perkara maksiat hukumnya adalah berdosa. Oleh itu hendaklah mencegahnya, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim) Tindakan yang boleh dilakukan ialah elakkan daripada menonton drama yang berunsur maksiat, melalaikan dan tidak memberi manfaat. Ibadah yang diterima ialah ibadah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dengan penuh keikhlasan, tidak melakukan perkara yang syirik, patuh dan taat pada perintah Allah dan jauhi laranganNya serta perbanyakkan taubat. Mudah-mudahan ibadah diterima. Firman Allah SWT yang bermaksud ; Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahfi : 110) Begitu juga dengan firman Allah SWT yang bermaksud; “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar”. (Al-Bayyinah : 5) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.