Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya seorang penghuni asrama. Pertaannya, terdapat suatu bekas kotoran terdapat di katil saya yang ditinggalkan oleh pengguna terdahulu. Saya musykil adakah ia najis atau tidak. Baunya juga tidak memberi kepastian sama ada ia najis atau tidak. Apakah yang perlu saya lakukan dan perlukah saya membasuh tilam tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tindakan yang saudara perlu lakukan ialah dengan membuat pembersihan. Jika dapat dipastikan ia adalah najis, hendaklah dicuci mengikut kaedah menyucikan najis. Tetapi jika bukan najis, tetap perlu dibersihkan kekotoran tersebut. Ini kerana amalan kebersihan sangat dituntut dalam Islam. Persekitaran yang bersih dan kemas memberi kesan pada kesihatan tubuh badan dan persekitaran di bilik asrama. Firman Allah SWT : إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ Maksudnya : “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah : 222) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.