BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Disini ada satu isu berkaitan hutang. Satu ketika hampir 10 tahun lepas saya memberi hutang sebanyak rm 10,000.00 kepada seorang sahabat. Perjanjiannya dia harus membayar sebanyak rm100 x 100 bulan. Dia hanya mampu bayar untuk beberapa bulan sahaja kemudian dia minta tangguh kerana kesempitan wang. Saya memberi dia ruang dengan seluasnya dan lama kelamaan dia terus senyap meskipun kami saling berhubung. Setelah 2 tahun sewaktu isterinya sedang bertarung ingin melahirkan bayi pertama.. Pada ketika itu saya berdoa dan berkata pada Allah bahawa saya menghalalkan hutang itu. Hingga kini setelah hampir 10 tahun mereka tidak tahu bahawa hutang itu sudah dihalalkan kerana mereka sendiri terus tidak menyebut pasal hutang itu. Soalannya. Bolehkah saya menuntut kembali hutang itu


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, tindakan tuan menghalalkan hutang sahabat tersebut adalah sebagai sedekah yang mana ganjarannya besar daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud; “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)”. (Al-Baqarah : 280) Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang melepaskan orang mukmin dari sesuatu kesengsaraan daripada kesengsaraan dunia nescaya Allah akan melepaskan daripadanya kesengsaraan pada hari kiamat, dan sesiapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesulitan nescaya Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim) Hutang yang telah disedekahkan tidak disyaratkan untuk dimaklumkan kepada sesiapa selagi harta tersebut adalah milik kita. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: ورَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فأَخْفَاها، حتَّى لا تَعْلَمَ شِمالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينهُ Maksudnya : “Terdapat tujuh golongan yang mendapat naungan Arash pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Antaranya ialah seorang lelaki yang bersedekah kemudian dirahsiakan sedekahnya sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang diinfakkan tangan kanannya.” (Riwayat Muslim) Iaitulah yang bersedekah tanpa orang lain mengetahuinya. Adapun, jika tindakan tuan menuntut kembali hutang yang telah dihalalkan itu, ia ibarat hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Orang yang menarik balik hibahnya (pemberian) seperti anjing yang muntah kemudian memakan muntahnya kembali”. (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 149

message user image