Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan:Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh. Saya ada kemusykilan mengenai umrah. Saya pernah mengerjakan umrah pada Februari 2019 dan bercadang untuk mengerjakan umrah sekali lagi pada tahun hadapan. Ketika mengerjakan umrah kali pertama saya membawa kasut dalam uncang setiap kali saya masuk ke masjidil haram sama ada untuk tawaf, saie, ataupun sekadar solat. Pendek kata saya membawa kasut(dalam uncang) ke mana-mana saya pergi sepanjang mengerjakan umrah. Adakah dibolehkan/ sahkah umrah saya kerana saya terlihat video yang menyatakan bahawanya ianya salah dan tidak sah? Namun ada juga artikel yang mengatakan ia dibolehkan. Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ia berbalik kepada syarat sah semasa melakukan tawaf, saie dan solat. Antara syaratnya ialah suci daripada hadas dan najis. Justeru, jika kasut yang di bawa sepanjang tawaf, saie dan solat adalah bersih daripada najis, maka sahlah ibadah tersebut. Namun jika sebaliknya, maka tidak sah. Walau bagaimanapun, tidak membawa kasut lebih utama. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.