Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Dulu waktu saya belajar di kolej, saya menetap di rumah sewa. Rumah tersebut pernah didiami oleh tuan rumah dan selepas itu tuan rumah jadikan ia rumah sewa. Saya dan rakan-rakan antara orang terawal masuk rumah tersebut. Sepanjang saya menyewa, saya pernah terjumpa cincin emas dalam bilik mandi dan saya rasa ianya kepunyaan tuan rumah.Tanpa berfikir panjang, saya telah menjual cincin tersebut dan dapat duit jualan hampir RM500 waktu itu ( saya tidak tahu berapa gram berat emas dijumpai, dan tidak ingat berapa harga emas per gram jualan waktu itu ). Setelah hampir 8 tahun berlalu, saya sedar dan rasa sangat menyesal akan perbuatan saya.Adakah saya kena pulangkan duit mengikut harga saya dapat dulu iaitu RM500 kepada tuan rumah? adakah saya kena berterus terang, saya khuatir dia akan marah.Atau ganti cincin emas sebentuk dengan harga lebih kurang?Atau adakah saya perlu berterus terang dengan tuan rumah, minta halalkan, atau tanya dia berapa dia nak duit untuk cincin tersebut?Saya mohon sangat pihak tuan dapat jelaskan semua ini, saya tidak tahu apa saya patut lakukan berkenaan cincin emas yang pernah saya jumpa dulu lalu menjualnya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, apa yang perlu dilakukan pertamanya hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Kesimpulannya, saudari hendaklah berterus terang kepada tuan rumah walau apa pun reaksinya kenalah terima. Berbincang secara baik dan berhikmah sama ada mengembalikan semula duit jualan cincin emas tersebut mengikut harga pada waktu itu, atau gantikan cincin baru, ia tertakluk kepada budi bicara pihak pemilik cincin sebagai tanda redha dan kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.