Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum pendapatan melalui aplikasi Fingo, platform e-commerce baru di Malaysia. Di bawah ini saya lampirkan penerangan mengenai kerja tersebut. Kita dapat pendapatan tanpa perlu menjual apa-apa. Adakah ianya sah kerana seolah-olah kita mendapat untung atas angin. Cara FINGO cari Shopper baru pula adalah dengan memberikan peluang kepada Customer mereka *Menjana Pendapatan* tanpa perlu jual barang dalam FINGO.Memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Wechat. Sebab itu FINGO dikenali sebagai *Social e-Commerce.*Kita share Invite Link --> Orang daftar secara percuma sebagai Shopper --> Mereka beli barang --> Kita dapat *10% Komisen* bagi setiap barang yang dibeli (Selagi mereka membeli, selagi tu kita dapat komisen) Shopper (SH) yang daftar dengan Link kita & upgrade kepada Preferred Shopper (PS) kita akan dapat *RM50* bagi setiap seorang yang upgrade.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, ia dilihat sama dengan MLM. Berdasarkan Garis Panduan MLM yang dikeluarkan oleh JAKIM meletakkan unsur skim piramid adalah diharamkan. Rujukan link : http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_mlm.pdf Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Baqarah : 188) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dengan Fingo (M) Sdn Bhd dan memasarkan produk mereka di platform dalam talian e-dagang syarikat itu, sebagaimana dalam berita atas talian Bernama : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/orang-ramai-dinasihatkan-tidak-terlibat-dalam-perniagaan-mlm-dengan-fingo-214716 Kesimpulannya, pihak kami berpendapat aplikasi ini perlu dielakkan kerana ia telah diklasifikasikan sebagai melanggar Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993. Tiada ganjaran yang datang bergolek tanpa usaha yang munasabah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.