BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum. Saya ada pertanyaan berkenaan rumah pusaka. Bapa saya telah meninggal dunia dan dia meninggalkan harta berupa rumah kpd ibu dan anak2. Rumah tersebut atas nama bapa, bapa yg membayar dari mula hinggalah habis, tetapi rumah tersebut dibina atas tanah kepunyaan ibu saya. Untuk makluman, saya adalah anak yang sulong dan saya ada 3 adik lelaki dan seorang adik perempuan yang bongsu, dan ibu saya masih ada. Soalan saya: 1. Apakah status rumah tersebut? Sekiranya rumah ini adalah rumah pusaka, apa perkiraan dari segi syarak oleh kerana ianya dibina atas tanah kepunyaan ibu saya. 2. Apakah hak saya keatas rumah tersebut sebagai anak sulong perempuan. Saya ingin penjelasan oleh kerana ibu bercadang untuk memberi sahaja rumah tersebut kpd adik lelaki saya. Saya tidak bersetuju oleh kerana saya merasakan saya juga ada hak keatas rumah tersebut dari segi faraid. Mohon pencerahan. Terima Kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari; 1. Rumah tersebut mestilah ditentukan statusnya. Jika ia telah diserah secara hibah daripada bapa kepada ibu semasa hidup, maka rumah itu adalah milik ibu. Oleh itu, ibu berhak membuat keputusannya. Jika tidak, ibu juga mempunyai hak ke atas rumah tersebut dengan menuntutnya sebagai harta sepencarian sepanjang perkahwinannya dengan bapa. Tuntutan harta sepencarian hendaklah diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian faraid boleh dilakukan kepada waris (anak). 2. Sebagai anak, saudari merupakan waris ke atas harta pusaka bapa, tetapi kriteria anak sulung tidaklah menjadi keutamaan, kerana pembahagian faraid adalah mengikut hukum syarak antara anak lelaki dan perempuan. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (an-Nisa’ : 11) Sebaiknya, perkara ini hendaklah diselesaikan dengan baik dan berhikmah, jangan disebabkan kerana harta, hubungan sesama ahli keluarga tidak harmoni. Saudari juga boleh dapatkan khidmat nasihat faraid daripada Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Atau hubungi mereka di talian tel : 03-5514 3773 / 3772 / 2190 / 3570, untuk penjelasan lanjut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 85

message user image