BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Saya ada satu soalan. Adakah boleh (apakah hukumnya) suami minta semula cincin dan gelang yang telah diberi/dipakaikan semasa akad nikah semasa perceraian? Duit maskahwin telah diberi asing mengikut kadar ketetapan negeri (RM300). Apakah status pemberian barang kemas tersebut? Bukankah ia hak mutlak isteri? Untuk pengetahuan, perceraian adalah dengan kebenaran mahkamah dan ketika bekas suami minta adalah ketika saya dan bekas suami sepakat untuk berpisah; sebelum saya memfailkan permohonan cerai fast track di mahkamah. Juga, adakah amalan minta semula pemberian ketika akad nikah merupakan salah satu adat negeri memandangkan bekas suami bukan orang Selangor seperti saya tapi Melaka. Mohon pencerahan. Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, pemberian barang kemas tersebut adalah sebagai hadiah/ hibah dan ia telah menjadi hak milik puan. Apabila bekas suami meminta semula hadiah/ hibah yang diberi semasa pernikahan hukumnya adalah makruh, bahkan ada pendapat yang mengatakan haram, kerana hibah tidak boleh ditarik balik melainkan daripada seorang ayah kepada anaknya. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menarik balik hibahnya seperti anjing yang muntah kemudian memakan muntahnya kembali.” (Riwayat al-Bukhari) Tidak dapat dipastikan jika ia merupakan adat bagi sesebuah negeri, kerana perbuatan itu bukanlah amalan yang diajarkan dalam Islam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 197

message user image