Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualikum ustaz/ustazah. Saya ingin bertanya apa hukum suami menyamakan anggota badan isteri dengan mahram suami tetapi suami tidak berniat untuk ziharkan isteri atau mengharamkan isteri. Sebagai contoh, suami saya pernah tepuk punggung saya dan dia cakap "mcm punggung anak saudara saya". Tapi bila saya tanyakan pada suami niat dia, dia tak berniat untuk haramkan saya atau ziharkan saya. Saya bimbang sebab suami sebut perkataan punggung. Apa hukum untuk situasi diatas?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, perkataan yang dilafaz oleh suami : “macam punggung anak saudara saya”, itu merupakan lafaz zihar yang soreh (jelas). Lafaz soreh ini tidak memerlukan kepada niat, selagi mana seorang suami itu waras dan memahami apa yang dikatakannya. Hukum zihar adalah haram. Namun, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak. Suami perlu membayar kaffarah zihar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 2 – 4 mengikut keutamaan seperti berikut: i. Membebaskan (memerdekakan) seorang hamba Muslim, jika tidak mampu; ii. Berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu; iii. Memberi makan enam puluh orang miskin dengan secupak beras setiap seorang atau dinilaikan harga makanan tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.