BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Bolehkah solat qadar solat fardu dan solat hajat dalam waktu haram solat?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, qada’ solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa, sebagaimana Dr. Wahbah al-Zuhailiy dalam kitabnya “al-Fiqh al-Islami wa adillatuh”, menyatakan bahawa : “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” Adapun, bagi solat sunat hajat, ia boleh dilakukan pada waktu siang dan malam, kecuali tiga waktu iaitu waktu syuruk, waktu matahari berada di tengah-tengah langit sebelum waktu zuhur dan waktu matahari mulai terbenam keseluruhannya sebelum waktu maghrib. Namun, lebih afdhal solat ini dilakukan pada sepertiga malam. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ Maksudnya : “Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah sesiapa yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenankan untuknya, adakah sesiapa yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah sesiapa yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 252

message user image