BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Sy Farid Drp Pahang. Ayah sy merupakan ahli tarekat Naqsyabandiyah di bawah bimbingan Tuan Guru Hj Mahayuddin Imam Shafie, berpusat di Puchong, Selangor. Tuan Guru tersebut merupakan murid terakhir Imam Bonjoi berpusat di Indonesia. Adakah tarekat ini sesat?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, setakat ini terdapat beberapa tarekat berkaitan dengan Naqsyabandiah yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat. Berikut adalah keputusan fatwa di Negeri Selangor : 1. Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Kadirun Yahya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 15 – 16 November 1981, memutuskan bahawa tarekat ini menyeleweng daripada ajaran Islam dan mengamalkan tarekat ini adalah sesat. (http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf) 2. Amalan Suluk (bertapa) & Rabitah (menghadirkan Wajah Guru) Dalam Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-29 yang bersidang pada 19 Februari 1992, telah memutuskan bahawa “Amalan Suluk dan Rabitah dalam Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah pimpinan Tuan Haji Ishak bin Mohd ‘Arif adalah terkeluar daripada syariat Islam”. (http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf) 3. Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyah Syeikh Nazim Al-Haqqani Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000, telah memutuskan bahawa Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim adalah bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat. ((http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf) 4. Tarikat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah di bawah Pimpinan Md. Aleh Solihin bin A. Sidiki Fahaman dan ajaran adalah bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. (Keputusan Fatwa Negeri Selangor) http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/370-fatwa-dasar-pengurusanagihan-manfaat-sewaan-perbadanan-wakaf-selangor-pws 5. Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya Amalan Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya mempunyai unsur-unsur amalan yang membawa syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH Subhanahu Wata’alla. (Keputusan Fatwa Negeri Selangor) http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/1995-1999/75-fatwa-tentang-tarikat-naqsyabandiah-kadirun-yahya 6. Ajaran dan amalan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol Tarikat ini didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, orang-orang Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. (Keputusan Fatwa Negeri Selangor) http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/1995-1999/58-fatwa-tentang-tarikat-samaniah-ibrahim-bonjol Maka, Tarikat Naqsyabandiah selain daripada yang telah difatwakan di atas adalah baik dan boleh diamalkan. Walau bagaimanapun, antara ciri-ciri amalan tarekat yang diperakui adalah: i. Amalan tersebut hendaklah diasaskan dengan kekuatan ilmu mengenai aqidah, syariah dan akhlak. ii. Tidak menganggap martabat dirinya lebih tinggi dan amalannya lebih suci daripada orang yang tidak mengikut ajaran tarikatnya. iii. Zikir yang diamalkan mempunyai sandaran dari al-Quran, al-Sunnah, amalan para sahabat dan salafussoleh. iv. Memperbanyakkan zikir dengan penuh keikhlasan. v. Tidak berzikir sampai keperingkat lupakan diri. vi. Bersifat warak dengan menjaga halal-haram, syubhah dan sia-sia secara istiqamah termasuk amar makruf dan nahi mungkar. vii. Tidak menambah lafaz syahadah. viii. Sentiasa membersihkan jiwa dengan menjauhi sifat-sifat tercela (mazmumah) dan mengamalkan sifat-sifat terpuji (mahmudah). ix. Cara amalan mengikut salasilah asal mengikut sunnah yang bertepatan dengan aqidah, syariah dan akhlak. x. Mendapat bimbingan dari guru yang mempunyai ciri-ciri berikut: a. Berilmu dan sedia menyampaikan ilmu secara terbuka b. Berakhlak mulia dan warak c. Ahli ibadah yang berwibawa (thiqah) d. Tidak mewajibkan sebarang bayaran e. Tidak mengikat pelajar menuntut di tempat lain xi. Dalam beramal tidak meninggalkan tuntutan syariah walau di peringkat ketinggian (maqam) mana sekalipun. Kerana ia bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 210

message user image