Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bolehkah kita membuat wasiat yang berbeza dengan kiraan faraid dengan tujuan memudahkan urusan pembahagian harta nanti. Contohnya kita ada harta berupa 2 buah rumah yang berbeza nilainya dan satu akaun simpanan, dan 3 waris (katakan A B C). Kita berwasiat supaya A ambil rumah 1, B ambil rumah 2, C ambil duit simpanan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tidaklah dinamakan wasiat sebagaimana contoh yang tuan kemukakan. Ini kerana nilai harta yang boleh diwasiatkan adalah tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta si mati. Dan wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris. Pelaksanaan wasiat dilakukan selepas pemilik harta meninggal dunia. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Sa’ad Bin Abu Waqqas, katanya yang bermaksud: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Riwayat al-Bukhari) Contoh yang dinyatakan, adalah merupakan hibah (pemberian), iaitu pemilik harta mengagihkan hartanya secara hibah terus kepada waris sebelum beliau meninggal dunia. Jika pemilik harta masih mempunyai harta selepas hibah dilakukan, bolehlah dibuat pembahagian secara faraid kepada waris selepas beliau meninggal dunia. Tetapi faraid tidak boleh diagihkan kepada ahli waris selagi belum diselesaikan hutang-hutang si mati, zakat, haji (jika belum menunaikan haji), fidyah, tuntutan harta sepencarian pasangannya (jika ada), kos pengurusan jenazahnya dan wasiat (1/3 bahagian) yang mana semua ini hendaklah diurus terlebih dahulu menggunakan harta si mati. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.