Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum memakai tangkal ayat Alquran ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, memakai tangkal yang mengandungi ayat al-Quran, terdapat dua pandangn ulama’ iaitu ada pandangan yang mengharuskan dan ada pandangan yang melarangnya. Adapun, pihak kami cenderung kepada pandangan yang melarangnya, ini kerana sebaik-baik pergantungan dan perlindungan mohonlah pertolongan terus kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan izin Allah SWT. Disamping sentiasa beramal soleh, melakukan apa yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan larangannya. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (az-Zumar : 38) Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam, dan muzakarah bersetuju memutuskan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai antaranya: i. Islam sangat menitik beratkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam. ii. Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung (pendinding) diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu panjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.