Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya seorang yang bekerjaya. Selama ini suami saya menanggung semua perbelanjaan rumah. Walaubagaimana pun dia tidak memberi saya nafkah belanja saya walaupun RM50. Sebaliknya beliau memberikan wang setiap bulan RM1500 kepada ibu dan adik perempuannya berusia 39 tahun setiap bulan walaupun mereka agak selesa dengan duit pencen arwah bapa mertua dan juga hasil sewa kedai. Adakah ini tidak menyalahi baginya dan saya tidak patut menerima nafkah lain dengan sebab dia telah menanggung keperluan lain? Setiap kali saya ingatkan tentangnya beliau akan marah. Saya cuma mahu dia faham apa yang betul di lakukannya menurut agama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hidup berumah tangga merupakan perkongsian hidup susah dan senang. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing, dalam masa yang sama isteri berkewajipan untuk mentaati suami dan suami berkewajipan menanggung nafkah keluarga. Sebagai isteri yang bekerjaya sudah tentu pekerjaan itu dilakukan dengan keizinan suami, yang bertujuan untuk berkongsi susah dan senang, hidup bahagia membangunkan keluarga, khususnya anak-anak. Bagi situasi puan, suami sudah menjalankan tanggungjawabnya menanggung semua perbelanjaan rumah dan keperluan lain. Pemberian wang bulanan suami kepada ibu dan adiknya juga merupakan sifat ihsannya yang tetap menjadi tanggungjawabnya walaupun sudah berumahtangga (beristeri), yang dapat menjamin keberkatan hidup. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA; من أحق الناس بحسن صحابتي قال أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Siapakah dari keluargaku yang paling berhak untuk berbakti?”. Jawab Rasulullah SAW, “Ibumu”. Pemuda itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu”. Ditanya lagi, “Kemudian siapa?”. Jawabnya, “Ibumu”. Pemuda tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa”. Nabi SAW menjawab, “Kemudian bapamu”. (Riwayat Muslim) Perbelanjaan rumah, sewa rumah/ bayaran rumah adalah termasuk dalam nafkah yang wajib. Namun, jika suami melebihkan selain ahli keluarganya, maka ia perlu diperbetulkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.