Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum...boleh bertanya..saya dulu pernah scam orang dengan membeli barang online...dia sudah post barang saya..tapi saya belum bankin duit kepada tuannya..bolehkah saya membayar duit tersebut dengan hanya bersedekah dengan nilai yang sama saya curi ...kalau ikut saya nak post semula barang tersebut kepada tuannya...tapi saya takut tuannya menceritakan kepada orang lain...dan jika saya ingin post barang tersebut agak susah kerana susah untuk pergi ke bandar kerana saya baru berumur 14 tahun...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, scam orang adalah perbuatan yang salah dan berdosa. Lebih-lebih lagi membeli barang tanpa membayarnya juga merupakan perbuatan khianat yang tidak disukai oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya: “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” (al-Hajj : 38) Oleh kerana barang yang dibeli itu telah diterima oleh saudara, maka wajib membayarnya sebagaimana yang dijanjikan kepada tuannya. Jadilah orang yang amanah dan tidak mengkhianati amanah dengan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (al-Anfaal : 27) Saudara tidak boleh membayar duit tersebut dengan cara bersedekah kepada orang lain, dan tidak perlu takut jika tuannya menceritakan kepada orang lain. Mudah-mudahan dapat dijadikan pengajaran. Jika tidak jadi untuk membelinya, maka barang yang telah diterima hendaklah dipulangkan semula dalam keadaan baik. Dapatkan bantuan ahli keluarga dewasa untuk ke bandar bagi urusan pengeposan. Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak mengulangi perbuatan scam kepada orang lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.